ABSTRAK KAJIAN PENDIDIKAN 2003
Institut Perguruan
Tuanku Bainun
____________________________________________
PENGUASAAN TATABAHASA BAHASA MELAYU DI KALANGAN
GURU-GURU PELATIH SEMESTER DUA AMBILAN JANUARI 2001 MPTB
Oleh
Zahariah
Binti Zainuddin
Ketua Jabatan
Jabatan Pengajian Melayu
Kajian
ini bertujuan untuk mengesan tahap penguasaan tatabahasa Melayu di kalangan
guru-guru pelatih semester dua ambilan Januari 2001 Maktab Perguruan Tuanku
Bainun. Kaedah kajian tersebut menggunakan ujian dengan dua bentuk soalan iaitu
soalan aneka pilihan dan membina ayat. Soalan-soalan itu merangkumi kedua-dua
komponen tatabahasa Melayu iaitu morfologi dan sintaksis. Komponen-komponen ini
diutarakan kerana dengan empat pola dasar inilah, ayat-ayat bahasa Melayu
ditransformasikan atau diperluas menjadi ayat-ayat terbitan yang lain mengikut
keperluan situasi dalam komunikasi, baik secara lisan mahupun tulisan. Hasil
dapatan kajian menunjukkan bahawa penguasaan tatabahasa bahasa Melayu di
kalangan guru-guru pelatih tersebut adalah sederhana dalam komponen morfologi
dan agak lemah dalam komponen sintaksis. Secara keseluruhannya, hasil dapatan
memperlihatkan bahawa suatu tindakan harus dilakukan untuk mempertingkatkan
tahap penguasaan tatabahasa bahasa Melayu di kalangan guru-guru pelatih ini,
memandangkan mereka akan menjadi guru yang akan mengajar pelbagai bidang ilmu
di sekolah kelak.
TEORI NEOFUNGSIONALSIME : SATU ULASAN
Oleh
Arba
bin kassim
Jabatan Ilmu Pendidikan
Umumnya, teori atau pendekatan
utama yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh seperti Marx, Weber, Durkheim,
Parsons dan McCelland, dan mereka yang mendominasikan himpunan penulisan tentang pembangunan dan perubahan, dapat dibahagikan kepada dua kumpulan perspektif
teoretis yang luas. Dua kumpulan perspektif teoretis ini merupakan penerangan
alternatif tentang pembangunan dan kurang pembangunan. Dua perspektif teori
pembangunan yang umum oleh Rahimah Abdul Rahim dalam bukunya Pengantar
SOSIOLOGI PEMBANGNAN ialah pertamanya, konservatif / tradisional dan keduanya,
progresif / radikal. Teori ini muncul akibat dari reaksi terhadap
keadaan-keadaan khusus ekonomi dan politik. Pengelompokan teori-teori
pembangunan ini kepada dua kumpulan boleh dilakukan berdasarkan fakta bahawa
wujud beberapa ciri umum yang dikongsi bersama oleh setiap himpunan teori yang
tergolong sama ada dalam kumpulan konservatif / tradisional ataupun progresif /
radikal.
KEBERKESANAN PEMBELAJARAN SEJARAH DAN KOMPONEN
KOMPUTER BERASASKAN WEB BAGI GURU PELATIH SEMESTER 1 DI MPTB
Oleh
Ahmad
Basri Hashim dan Azizan Ariffin
Jabatan Teknologi Pendidikan
Laman
web akan memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Dengan adanya bahan-bahan pengajaran dalam laman web, proses
pengajaran dan pembelajaran tidak hanya akan bergantung kepada pengajar tetapi
juga kepada kebijaksanaan pelajar untuk mencari bahan. Kajian ini dijalankan
untuk melihat keberkesanan pembelajaran web dalam matapelajaran teknologi
maklumat. Ianya juga akan membandingkan pembelajaran web secara campuran dengan
pembelajaran berasaskan web sepenuhnya. Topik yang dipilih adalah sejarah dan
komponen komputer dan subjek kajian ini adalah terdiri daripada 62 orang
pelatih semester 1 ambilan Julai 2002. data dikumpul melalui soal selidik dan
ujian pra dan post. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa pembelajaran berasaskan
web adalah berkesan. Dapatan juga adalah lebih berkesan. Pelatih juga mempunyai
sikap yang positif terhadap pembelajaran berasaskan web.
KEPERCAYAAN GURU TERHADAP PERKEMBANGAN PENAAKULAN
ALGEBRA PELAJAR
Oleh
Kim Teng
Siang dan Jong Cherng Meei
Unit Matematik
Guru
matematik sering menyusun pengajaran soalan aritmetik dan algebra berdasarkan
kesukaran soalan-soalan tersebut. Biasanya guru hanya meramal tahap kesukaran
soalan-soalan ini berasaskan tanggapan mereka, cadangan buku atau pengalaman
sendiri dan jarang sekali berdasarkan dapatan-dapatan kajian atau pencapaian
sebenar yang ditunjukkan oleh murid. Nathan dan Koedinger (2000) telah
menunjukkan ramalan-ramalan guru (dan juga penyelidik ) ini terpesong secara
sistematik daripada pencapaian algebra pelajar yang sebenar tetapi bersepadanan
secara hampir-hampir sama dengan pandangan implisit yang terdapat dalam buku
teks. Kajian ini melanjutkan penyiasatan tersebut dengan menggunakan sampel
yang berlainan iaitu guru matematik dan pelajar sekolah menengah rendah
tempatan di Malaysia. Dapatan kajian ini telah menunjukkan bahawa trend
kepercayaan kedua-dua sampel guru dan pelajar adalah hampir sama iaitu lebih
memiripkan kepada Model Perkembangan Pendahuluan Simbol daripada Model
Perkembangan Pendahuluan Verval khususnya untuk soalan-soalan algebra.
Sebab-sebab percanggahan dapatan ini dengan dapatan Nathan dan Koedinger (2000)
juga dibincangkan dalam laporan ini.
Untuk
mendapatkan kertas kerja yang penuh sila hubungi Webmaster
IPTB